Isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru perlu jadi iktibar – Johari

KUALA LUMPUR, 13 Disember – Isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang berlarutan hampir lapan tahun tanpa penyelesaian tuntas perlu dijadikan iktibar, khususnya dalam menilai latar belakang pemaju sebelum sesuatu projek dilaksanakan.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata latar belakang serta keupayaan pemaju yang bercadang melaksanakan projek pembangunan perlu diteliti secara menyeluruh bagi mengelakkan penduduk menjadi mangsa pada masa hadapan.

Menurut beliau, penduduk Flat Sri Perlis 2 telah menyuarakan kebimbangan dan hidup dalam ketakutan susulan khabar angin mengenai kemungkinan pemindahan bagi tujuan pembangunan semula.

“Di Sri Perlis 2 ini, penduduk telah memaklumkan kepada saya bahawa mereka tinggal dalam ketakutan kerana mendengar banyak khabar angin kononnya beberapa pemaju telah datang untuk melaksanakan pembangunan semula.

“Jadi saya telah meyakinkan mereka bahawa kita sudah ada satu projek di Sungai Baru yang menjadi iktibar kepada mana-mana pemaju yang hendak membangunkan kawasan dalam fasa pra-pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Santuni MADANI di Taman Datuk Keramat, di sini.

Datuk Seri Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi mengulas kebimbangan penduduk Flat Sri Perlis 2 terhadap kemungkinan dipindahkan susulan khabar angin mengenai cadangan pembangunan semula di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tidak mahu kegagalan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru berulang pada masa hadapan.

Beliau turut memaklumkan pihaknya menerima surat serta maklumat daripada penduduk Sungai Baru yang mempersoalkan hak pemaju untuk menjual saham, termasuk implikasi pertukaran pemegang saham terhadap perjanjian asal yang telah dimeterai.

Bagaimanapun, katanya, penjelasan lanjut tidak dapat diberikan tanpa maklumat lengkap, namun pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada pemaju terlibat bagi memastikan hak penduduk tidak terabai.