Isu dua kewarganegaraan: JPN nafi tindakan sewenang-wenangnya

KOTA BHARU, 17 Disember –Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan bahawa pengurusan isu pemilikan dua kewarganegaraan dilaksanakan sepenuhnya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan tiada sebarang tindakan diambil secara sewenang-wenangnya terhadap mana-mana individu.

JPN dalam satu kenyataan media memaklumkan, pihaknya mengambil maklum penularan potongan klip berita di media sosial yang didakwa merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berhubung isu dua kewarganegaraan, namun telah ditafsirkan di luar konteks sebenar.

“Kenyataan beliau yang asalnya diterbitkan sebagai artikel berita merujuk kepada pendekatan sedia ada dalam menangani isu pemilikan dua kewarganegaraan, yang telah lama diperuntukkan bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan,” katanya menerusi kenyataan itu.

Sehubungan itu, warganegara yang memiliki kewarganegaraan asing boleh membuat pelepasan kewarganegaraan secara sukarela berbanding dikenakan tindakan pelucutan kewarganegaraan bawah Perkara 24, 25 atau 26 Perlembagaan.

JPN menjelaskan, peranannya adalah sebagai agensi pelaksana yang menjalankan semakan dan penelitian secara terperinci termasuk pengesahan dokumen serta penyediaan syor berdasarkan fakta kes dan peruntukan undang-undang sedia ada.

Sebarang keputusan muktamad berkaitan pelucutan status kewarganegaraan adalah tertakluk kepada kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Dalam Negeri, sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

Mengulas dakwaan kononnya JPN “mempertimbang syor” secara automatik, pihaknya menegaskan perkara itu tidak membawa maksud wujud perubahan dasar atau pelaksanaan tindakan serta-merta terhadap mana-mana individu. 

Sebaliknya ia merujuk kepada opsyen yang boleh dipertimbangkan bagi memastikan pengurusan kewarganegaraan dilaksanakan secara berhemah, adil dan berlandaskan undang-undang.

Dalam pada itu, JPN menyeru semua pihak termasuk portal berita dan pihak ketiga agar melaporkan serta berkongsi maklumat secara tepat dan bertanggungjawab, selaras dengan konteks sebenar kenyataan rasmi bagi mengelak kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat.