Islam rahmah, inklusif terus diperkukuh – Dr. Zulkifli

PUTRAJAYA, 17 Disember – Pendekatan Islam yang bersifat rahmah, inklusif dan sederhana akan terus diperkukuh dalam pentadbiran hal ehwal agama negara, selari dengan aspirasi pembangunan Malaysia yang berkemajuan serta meraikan kepelbagaian masyarakat majmuk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, hal ehwal agama akan memberi tumpuan kepada peranan signifikan dalam pembentukan masyarakat dan pembangunan negara secara menyeluruh, berteraskan prinsip penyatuan dan keharmonian.

“Saya dan Senator Ustazah Marhamah Rosli mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas kepercayaan serta amanah yang diberikan kepada kami untuk melaksanakan tanggungjawab ini sebaiknya demi negara.

“Apa yang ingin kita bawa adalah imej Islam yang rahmah, inklusif, damai, maqasidi, wasati serta meraikan kepelbagaian, dan dalam masa yang sama, Islam yang berkemajuan. Ini yang ingin kita tunjukkan kepada semua bahawa Islam itu sesuatu yang indah dan mampu memberikan kerahmatan kepada seluruh alam serta seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama timbalannya, Senator Marhamah Rosli di Putrajaya.

Menurut Dr. Zulkifli, Yang di-Pertuan Agong turut menitipkan pesanan agar amanah yang dipikul dilaksanakan dengan sebaik mungkin demi kepentingan negara.

Pada masa sama, Malaysia kekal berada pada landasan kukuh sebagai peneraju industri halal global dengan pengiktirafan lebih 92 badan halal antarabangsa dari 47 negara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan negara atas kepercayaan yang diberikan, sambil menegaskan komitmen untuk membina pasukan terbaik berteraskan keharmonian, perpaduan dan kesatuan dalam pengurusan hal ehwal agama negara.