Infantino didakwa langgar etika FIFA, puji Trump berlebihan

WASHINGTON, 10 Disember -Presiden FIFA, Gianni Infantino, berdepan aduan rasmi susulan dakwaan pelanggaran etika melibatkan tindakan berunsur politik ketika majlis undian Piala Dunia 2026, lapor The Athletic semalam.

Aduan itu dikemukakan oleh kumpulan advokasi global, FairSquare, yang menuduh Infantino gagal mengekalkan sifat berkecuali FIFA apabila memuji secara berlebihan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada majlis berkenaan.

FairSquare turut mempersoalkan penganugerahan FIFA Peace Prize kepada Trump, anugerah baharu yang pertama kali diperkenalkan badan induk itu.

Dalam aduan setebal lapan muka surat itu, FairSquare meminta Jawatankuasa Etika FIFA menyemak semula tindakan Infantino sepanjang majlis undian pada 5 Disember yang menentukan kedudukan 48 pasukan bagi Piala Dunia 2026.

Majlis itu turut dihadiri Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, dan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, namun Trump menerima perhatian paling ketara pada acara di Kennedy Center, Washington D.C.

FIFA menjelaskan anugerah keamanan itu diwujudkan untuk mengiktiraf individu yang mengambil tindakan luar biasa dalam menyatukan masyarakat dunia.

FairSquare dalam aduannya memetik peraturan FIFA sendiri yang menuntut badan itu kekal berkecuali dalam urusan politik dan hubungan kerajaan.

Kumpulan itu turut merujuk tindakan Infantino sebelum ini yang melobi di media sosial supaya Trump dicalonkan menerima Hadiah Nobel Keamanan bagi menangani konflik Israel–Gaza.

Aduan itu menyenaraikan beberapa pelanggaran etika dan kegagalan mematuhi prinsip berkecuali FIFA.

Jika didapati bersalah, Infantino boleh dikenakan amaran, teguran, denda, latihan pematuhan atau larangan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak. -REUTERS