Hujan lebat berterusan, Pahang kembali dilanda banjir

KUANTAN, 17 Disember – Hujan lebat berterusan di Pahang mengakibatkan negeri itu kembali dilanda banjir.

Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga 7 pagi, seramai 2,026 penduduk terjejas daripada 625 keluarga kini berlindung di 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah.

Sebanyak 1,952 orang daripada 606 keluarga ditempatkan di 13 PPS di Kuantan, manakala 74 penduduk daripada 19 keluarga berlindung di dua PPS di Maran.

PPS Sekolah Kebangsaan Mat Kilau di Kuantan mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi iaitu 307 orang daripada 97 keluarga.

Situasi banjir dijangka berlanjutan susulan amaran hujan di Pahang yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hingga Khamis ini.

Tahap buruk membabitkan Kuantan, Pekan dan Rompin, manakala tahap waspada melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran serta Bera.