Hari Malaysia simbol penyatuan masyarakat pelbagai kaum, etnik

KUALA LUMPUR, 10 September – Hari Malaysia bukan hanya cuti umum, tetapi simbol penyatuan yang mempererat hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dan etnik.

Naib Canselor, Universiti Poly-Tech Malaysia, Prof Madya Dr Sharifah Syahirah Sy Shiekh, menegaskan peranan generasi dewasa amat penting dalam memberi penerangan kepada golongan muda mengenai makna sebenar Hari Malaysia.

“Hari Malaysia ini memang sebagai satu wadah, kita perlulah pastikan kita menyambutnya supaya kita dapat perkukuhkan satu identiti dengan keistimewaan dan kekuatan etnik dan juga kaum di Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas bersiaran di Selamat Pagi Malaysia,Angkasapuri Kota Media.

Malah tambah Prof Madya Dr Sharifah Syahirah, media sosial kini menjadi ruang positif untuk generasi muda lebih cakna terhadap pengertian sejarah penubuhan negara.

“Ini adalah tugas dan tanggungjawab golongan dewasa, saya pasti bila kita tengok media sosial ada golongan muda yang lebih cakna dan memahami apa itu maksud Hari Malaysia.

“Di Universiti Poly-Tech Malaysia, semangat Malaysia MADANI diserapkan dalam budaya kampus menerusi konsep ‘Amazing UPTM’. Enam teras Malaysia MADANI bersama Rukun Negara dijadikan landasan dalam membentuk naratif positif ke arah negara maju menjelang 2030,” ujarnya lagi.

Katanya, paling penting adalah naratif positif pengumpulan semua naratif rakyat Malaysia yang positif akan menjadikan negara kita lebih baik dan insya-Allah sebelum 2030 menjadi negara maju.

Dalam pada itu , beliau menegaskan cabaran terbesar ketika ini ialah sikap segelintir pihak yang masih gagal memahami makna sebenar Malaysia.

“Saya amat berharap pihak-pihak ini hentikan dan belajar lebih banyak tentang apa makna Malaysia dan tanggungjawab kita untuk memastikan kemampanan negara untuk generasi akan datang,” katanya.