Hargai ibu bapa dan jaga maruah universiti – Sultan Selangor

SERDANG, 29 November – Para graduan diingatkan agar sentiasa menghargai jasa ibu bapa dan pendidik, serta sentiasa menjaga maruah dan nama baik universiti selepas menamatkan pengajian.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) menzahirkan titah, kejayaan akademik dan pencapaian global UPM hanyalah bermakna jika setiap graduan mempraktikkan integriti, budi pekerti mulia dan rasa tanggungjawab kepada masyarakat dan negara.

“Jasa ibu bapa adalah asas kejayaan setiap graduan. Hargailah mereka dan berbaktilah dengan setia. Nama baik universiti adalah maruah diri.

“Jagalah ia sebaik-baiknya agar pencapaian tidak sia-sia. Integriti, disiplin dan akhlak mulia adalah tunjang kejayaan, bukan semata-mata ilmu,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UPM ke-49, Sidang Dua di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, pada Sabtu.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Pengurusan Universiti dan seluruh warga UPM atas pencapaian membanggakan dalam QS World University Rankings 2026.

UPM telah mencatatkan peningkatan skor dalam semua indikator penilaian, terutama dalam Reputasi Akademik dan Sitasi per Fakulti, membuktikan kedudukan UPM sebagai pusat pengajaran dan penyelidikan bertaraf global.

Majlis Konvokesyen UPM ke-49 pada tahun ini meraikan 6,929 graduan yang terdiri daripada 778 graduan PhD, 1,979 graduan Master, 3766 graduan Bacelor, dan 406 pemegang Diploma.

Pengiktirafan ini menyerlahkan komitmen UPM terhadap kesinambungan ilmu, penyelidikan dan pendidikan pengembangan yang dekat dengan masyarakat dan sektor pertanian.