KUALA TERENGGANU, 15 Disember -Jambatan Angkat Kuala Terengganu akan dilengkapi palang penghadang ketinggian dengan had 3.5 meter serta had muatan lima tan, berkuat kuasa 1 Januari tahun hadapan.
Langkah itu bertujuan mengawal pergerakan kenderaan berat yang melebihi had dibenarkan daripada merentasi jambatan ikonik tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Ti Properties Sdn. Bhd., Awasi Mohamad berkata, inisiatif itu penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta melindungi struktur jambatan berkenaan sebagai mercu tanda utama negeri.
“Pelaksanaan itu selaras dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Seksyen 86(3) akta berkenaan melarang kenderaan Berat Dengan Muatan (BDM) atau Berat Tanpa Muatan (BTM) lima tan dan ke atas daripada menggunakan laluan tersebut,” katanya.
Awasi turut meminta kerjasama pengguna jalan raya, khususnya pemandu kenderaan berat, untuk menggunakan laluan alternatif yang telah disediakan.
“Kami memohon kerjasama pemandu kenderaan yang melebihi had muatan supaya memilih laluan alternatif seperti Jalan Sultan Mahmud dan Jambatan Manir sedia ada, selain merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Dalam pada itu, pengguna jalan raya turut diingatkan supaya mematuhi had kelajuan yang ditetapkan, iaitu 30 kilometer sejam, ketika melalui kawasan jambatan.
Sebagai langkah sokongan, papan tanda amaran had muatan serta papan kenyataan berkaitan akta dan peraturan telah dipasang di laluan utama menuju ke jambatan berkenaan.
Selain itu, paparan amaran had ketinggian menerusi skrin LED turut dipasang bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya.
Dalam masa sama, laluan penyuraian trafik serta kawasan parkir khas, khususnya untuk bas pelancong, turut disediakan bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan dan keselesaan pengunjung.
Orang awam disarankan mendapatkan maklumat terkini menerusi saluran media sosial rasmi Kuala Terengganu Drawbridge.

