KUALA LUMPUR, 9 Disember – Susulan gempa bumi berkekuatan 7.5 pada skala richter yang melanda kawasan timur laut Jepun malam semalam, Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana itu.
Kementerian Luar menerusi Kedutaannya di Tokyo dalam kenyataan memaklumkan, pihak mereka sedang memantau dengan teliti situasi semasa.
“Kedutaan Malaysia di Tokyo sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkuasa tempatan dan sedang memantau perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, gempa yang berpusat pada kedalaman 54 kilometer itu dikesan berlaku kira-kira 80 kilometer dari pesisir daerah Aomori.
Amaran tsunami turut dikeluarkan di pantai timur wilayah Aomori serta kawasan lain di sepanjang pantai Pasifik, antaranya wilayah Hokkaido dan Iwate dengan jangkaan ombak setinggi tiga meter.
Amaran itu bagaimanapun ditarik balik.
Wisma Putra dalam pada itu menasihatkan rakyat Malaysia yang berada atau menetap di kawasan terjejas supaya terus berwaspada, mengelakkan kawasan pesisir pantai serta mematuhi arahan rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa Jepun.
Rakyat Malaysia di Jepun juga digalakkan untuk mendaftarkan kehadiran mereka dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo bagi memastikan penyampaian maklumat dan bantuan dapat diberikan dengan cepat sekiranya diperlukan.
Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo boleh dihubungi menerusi talian +81-3-3476-3840 dan +8180-4322-3366 (kecemasan) atau emel:consular.tyo@kln.gov.my.

