KOTA KINABALU, 22 November – Kementerian Pendidikan Tinggi akan mewujudkan Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), selepas moratorium bidang tersebut dibuka khusus untuk kedua-dua negeri.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah tersebut selaras dasar kerajaan yang memberi keutamaan kepada pelajar Sabah dan Sarawak peluang dalam pendidikan tinggi.
“Jadi ini merupakan satu berita baik untuk rakyat Sabah keseluruhannya kerana kita mendengar saranan-saranan yang dikemukakan, justeru selaku menteri saya bertanggungjawab untuk pastikan keselesaan rakyat dan kemudahan untuk rakyat di Sabah diberikan keutamaan,” kata beliau selepas sesi lawatan kerja di asrama baharu UMS.
Pembukaan Fakulti Undang-Undang merupakan keperluan bagi melahirkan lebih ramai pakar perundangan tempatan, terutama dalam isu berkait hak negeri, perlembagaan serta bidang kehakiman yang semakin kompleks.
“Keputusan kabinet membenarkan UMS dan UNIMAS menubuhkan fakulti masing-masing adalah hasil saranan rakyat serta keperluan semasa, memandangkan hanya universiti di Semenanjung menawarkan latihan perundangan komprehensif sebelum ini,” kata beliau lagi.

