ETS3 pemangkin baharu lonjak sektor pelancongan

KUALA LUMPUR, 12 Disember – Pengoperasian sulung Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) menghubungkan Kuala Lumpur dan Johor Bahru, pemangkin baharu pemerkasaan sektor pelancongan negara, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching yakin perkhidmatan itu mampu membuka potensi besar kepada pembangunan pelancongan.

“Operasi ETS3 itu bukan sahaja memberi limpahan manfaat kepada Kulai, malah turut memperkaya akses ke destinasi lain contohnya seperti Kluang dan Segamat.

“Saya percaya ianya berupaya menjadi faktor pemangkin yang mampu meningkatkan pergerakan pelancong serta memberi impak besar kepada sektor pelancongan negara,” katanya kepada media di KL Sentral.

Terdahulu, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai, turut serta menaiki perkhidmatan ETS3 yang mula beroperasi hari ini.

Beliau berlepas dari Stesen Kulai untuk pulang ke Kuala Lumpur sambil merasai sendiri kemudahan dan pengalaman yang ditawarkan perkhidmatan tren berkenaan.

Perkhidmatan ETS3 dengan kelajuan 140 kilometer per jam membolehkan penumpang menikmati perjalanan lebih pantas dan efisien kira-kira empat jam 20 minit dari KL Sentral dan JB Sentral berbanding jalan raya yang boleh mengambil masa sehingga tujuh jam.

Perkhidmatan itu setakat ini melibatkan empat perjalanan sehari bagi laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral.

Pengoperasian ETS3 KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral melengkapkan sambungan laluan yang sebelum ini berakhir di Kluang.