Etika pemakaian di premis kerajaan diteliti semula – Fahmi

KUALA LUMPUR, 10 Disember — Pekeliling berkenaan etika pemakaian di premis kerajaan akan diteliti semula dengan cadangan penambahbaikan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata mesyuarat menteri bersetuju pengecualian wajar diberikan kepada perkhidmatan barisan hadapan seperti kesihatan dan keselamatan, termasuk balai polis daripada pekeliling tersebut.

“Ia akan diteliti oleh Tan Sri KSN dan pejabat beliau. Kita boleh jangkakan kenyataan dan pekeliling baru akan dikeluarkan dalam masa yang tidak terlalu lama.

“Tapi pandangan yang membuat Perdana Menteri adalah dalam isu keselamatan melibatkan balai-balai polis bagi mereka yang ingin membuat laporan seharusnya tidak berlaku apa-apa keadaan yang menghalang mereka daripada membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen di sini.

Keputusan itu diambil susulan isu tular melibatkan seorang individu yang dimaklumkan tidak dibenarkan memasuki sebuah balai polis untuk membuat laporan kerana didakwa tidak mematuhi aturan pakaian yang ditetapkan.

Kejadian tersebut menimbulkan perdebatan masyarakat mengenai kesesuaian pelaksanaan pekeliling berkenaan, terutamanya bagi perkhidmatan yang memberi khidmat barisan hadapan.