LAHAD DATU, 17 Disember – Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) akan memastikan proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag Januari depan, berjalan lancar.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, pihaknya dari semasa ke semasa memperhebat kawalan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah termasuk Kinabatangan.
“Sejajar dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), komitmen kami adalah untuk memastikan keseluruhan proses berjalan dengan baik dan lancar.
“Kami juga menyeru komuniti yang terlibat dalam proses pembuangan undi agar tidak bimbang serta menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam suasana yang aman dan harmoni,” katanya ketika ditemuai di majlis penyerahan projek siap stor strategik ESSCOM di sini.
Jelasnya, ESSCOM yang merangkumi Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bersiap siaga dalam mempertahan kedaulatan negara termasuk kesejahteraan rakyat ketika proses berkenaan dilaksanakan.
SPR menetapkan hari pengundian PRK itu pada 24 Januari depan, manakala, 10 Januari bagi hari penamaan calon dan 20 Januari, undi awal.

