eCOSS catat pendaftaran tertinggi di Johor

JOHOR BAHRU, 4 Disember – Lebih 100 ribu penduduk Johor telah berdaftar menggunakan Sistem Subsidi Minyak Masak Elektronik (eCOSS), menjadikan negeri itu pengguna tertinggi platform berkenaan setakat ini.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, perluasan rangkaian pengedaran minyak masak bersubsidi turut ditingkatkan daripada 15 kepada 55 lokasi di seluruh negeri bagi mengelakkan ketirisan bekalan.

“Alhamdulillah, Johor antara yang tertinggi menggunakan aplikasi eCOSS. Rakyat juga semakin faham prosesnya dan aduan kebocoran bekalan kini jauh berkurangan,” katanya pada Pelancaran Aplikasi Mobile eCOSS di Johor Bahru.

Menurutnya, rantaian bekalan daripada pembungkus hingga ke peruncit diperkemas bagi memastikan bekalan minyak masak bersubsidi satu kilogram dapat diperoleh secara konsisten.

Johor kini menerima hampir 1,000 tan metrik minyak masak bersubsidi setiap bulan menerusi 55 lokasi pengedaran.