IPOH, 9 Disember – Susulan laporan serangan haiwan liar dipercayai harimau yang menyebabkan dua ekor lembu ternakan mati di kawasan Bukit Bangkong minggu lalu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak hari ini telah mempertingkatkan kawalan dan memasang satu unit perangkap di lokasi berkenaan.
Ketua Unit Konservasi Harimau Malaya Perak, Marina Yusof, berkata pihaknya turut memasang empat kamera perangkap untuk memantau pergerakan haiwan tersebut.
“Berdasarkan saiz tapak kaki, kita hanya boleh anggarkan ia seekor harimau dewasa. Namun begitu, umur tepat haiwan tidak dapat dikenal pasti hanya melalui tapak,” katanya.
Minggu lalu, Polis Perak menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa dua lembu ternakannya mati akibat diserang haiwan liar, dipercayai harimau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, menasihatkan penduduk sekitar agar berwaspada dan tidak memasuki kawasan kejadian tanpa kebenaran.
“Saya minta penduduk mematuhi nasihat Perhilitan. Jangan sesuka hati masuk ke kawasan ini kerana pergerakan manusia boleh menjejaskan usaha menangkap harimau tersebut dan menyukarkan operasi,” katanya.
Setakat ini, kawasan Bukit Bangkong masih ditutup kepada orang ramai bagi sebarang aktiviti riadah sehingga dimaklumkan kelak.

