SERDANG, 30 November – Detik konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) tahun ini mencatatkan memori istimewa apabila dua beradik, Siti Nur Fatihah Yap dan Siti Nur Atika Yap, muncul sebagai graduan cemerlang dalam bidang masing-masing, sekali gus meneruskan legasi keluarga yang menjadikan UPM sebagai “rumah kedua”.
Kejayaan itu lebih menyentuh hati kerana kedua-duanya dibesarkan oleh seorang ibu tunggal selepas pemergian ayah mereka pada tahun 2012.
Graduan Bacelor Sains dan Teknologi Makanan, Siti Nur Fatihah berkata majlis konvokesyen bukan sekadar acara rasmi, tetapi perayaan terhadap kekuatan keluarga mereka yang sentiasa bersama sepanjang suka dan duka.
“Walaupun saya dan kakak berkonvokesyen pada hari berbeza, keluarga tetap hadir untuk kedua-duanya. Kami membesar bersama, belajar bersama, dan kini berkongsi pentas kejayaan bersama,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan UPM.
Beliau menambah hampir kesemua adik-beradiknya, termasuk ipar, adalah lepasan UPM dan ada yang masih melanjutkan pengajian di universiti sama, sekali gus menjadikan UPM sebahagian penting dalam perjalanan hidup keluarga mereka.
Beliau yang kini bekerja dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berharap kejayaan bersama kakaknya menjadi inspirasi kepada adik-beradik lain serta mahasiswa UPM.
“UPM ialah tempat saya menemui keyakinan, keberanian dan bakat diri. Saya berharap kami dapat terus mengamalkan semangat “berilmu berbakti” di mana jua kami berada,” katanya.
Bagi Graduan Master Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Siti Nur Atika, kembali ke UPM setelah kali pertama bergraduasi pada 2018; membawa makna yang jauh lebih mendalam.
Minat yang semakin berkembang dalam bidang kesihatan, keselamatan dan alam sekitar mendorongnya menyambung pengajian di peringkat sarjana.
Namun perjalanan Siti Nur Atika tidak mudah apabila beliau menyambut kelahiran anak sulung di pertengahan pengajian.
“Mengimbangi pengajian, kerja, tanggungjawab sebagai ibu dan isteri bukan perkara mudah. Saya terpaksa mengurangkan jumlah jam kredit dan memanjangkan tempoh pengajian.
“Tetapi semuanya berbaloi, dan saya tidak mampu melaluinya tanpa sokongan penuh suami,” katanya.
Siti Nur Atika berharap pencapaiannya membuka laluan kerjaya lebih stabil sambil mengekalkan keseimbangan hidup, terutama sebagai seorang ibu muda.
“Saya mahu memanfaatkan ilmu dan kelayakan ini dalam kerjaya sambil terus menjadi ibu yang hadir untuk anak saya,” katanya lagi.

