Kuala Lumpur, 5 Disember –Program Rancak MADANI yang berlangsung minggu ini di Dataran Putrajaya membuka peluang kepada orang ramai membuat bayaran saman trafik dengan tawaran pengurangan hingga 70 peratus.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, inisiatif itu bertujuan memudahkan urusan pembayaran selain memberi pendidikan keselamatan jalan raya kepada pengunjung sepanjang program berlangsung.
“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Keselamatan dan Pengawasan Trafik membuka kaunter di program ini untuk memudahkan orang ramai membayar saman-saman mereka. Memang diberikan pengurangan sebanyak 70% sehingga 30 Disember 2025. Mereka boleh membuat pembayaran secara ‘cashless’ menggunakan aplikasi MyBayar PDRM, My Digital ID, di pejabat pos atau di mana-mana kaunter trafik seluruh negara.” katanya dalam
temubual eksklusif di Bukit Aman.
Jelasnya , selain pembayaran saman, pengunjung juga berpeluang melihat lebih dekat aset serta peralatan milik JSPT yang digunakan dalam operasi penguatkuasaan harian.
Turut diadakan pameran yang memaparkan pelbagai aset penguatkuasaan termasuk kamera speed trap, motosikal peronda, alat pengesan alkohol serta bahan visual keselamatan jalan raya, bagi membantu pengunjung memahami dengan lebih jelas tugas pasukan trafik dan peranan mereka sebagai pengguna jalan raya
Beliau turut menekankan pendidikan awal mengenai disiplin jalan raya amat penting bagi membentuk pemandu berhemah pada masa depan.
“Selama 13 tahun, jumlah saman meningkat kepada lebih 6 juta. Ini menunjukkan pengguna jalan raya masih memerlukan penguatkuasaan. Tetapi kita tidak mahu mereka patuh hanya kerana ada polis di jalan. Kita mahu ia menjadi amalan bermula di sekolah agar setiap pengguna memandu dengan berhati-hati, ikut peraturan dan memastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan baik.” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan diskaun saman hingga akhir 2025, selain memperoleh maklumat keselamatan jalan raya di reruai JSPT sepanjang tiga hari program Rancak MADANI yang bermula hari ini.

