DGP : Lebih 31,000 pekerja terima kenaikan gaji

KUALA LUMPUR , 4 Disember – Lebih 31,000 pekerja menerima kenaikan gaji, setakat 30 November lepas, sejak pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengakui inisiatif kerajaan dalam mereformasi pasaran buruh berupaya meningkatkan pendapatan pekerja disamping manfaat yang turut diterima majikan.

“DGP menyasarkan majikan tempatan bukan GLC dan bukan MNC, manakala pekerja yang layak adalah warganegara Malaysia bergaji antara gaji minimum sehingga RM4,999 sebulan,”katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail di Dewan Rakyat.

Menyentuh mengenai kemajuan pelaksanaan, beliau memaklumkan 5,808 majikan telah membuka akaun melalui Sistem Gaji Progresif.

“Penetapan kadar kenaikan gaji dibuat berdasarkan Buku Panduan Gaji Pokok Permulaan dan Kenaikan Tahunan* (GPPKT),”jelasnya.