Data geospatial panduan elak pembangunan di kawasan berisiko banjir

KUALA LUMPUR, 15 Disember – Penggunaan data geospatial sebagai maklumat terkini permukaan tanah menjadi panduan penting kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum memberikan kelulusan kebenaran merancang (DO) kepada pihak pemaju.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan tindakan tersebut dapat mengelak pembangunan baharu dibangunkan di kawasan-kawasan yang berisiko banjir khususnya di luar bandar.

“PBT perlu ada maklumat mengenai sesuatu kawasan. Kalau tidak, rumah siap atau juga ada rumah tidak siap, sudah mula masuk banjir. Sebab itu data dan informasi ini sangat penting untuk semua PBT sebelum memberikan kelulusan atau DO,” katanya pada sesi Dewan Negara.

Jelas beliau, dengan mengelak kawasan berisiko dari dibangunkan projek pembangunan baharu, kawasan tersebut berpotensi dijadikan sebagai antara lokasi projek mitigasi banjir. 

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Amir Md Ghazali berhubung langkah kementerian isu pelan guna tanah dan pembangunan khususnya kawasan bandar yang berisiko banjir agar disemak semula selaras corak perubahan ekstrem di Dewan Negara.