Daniel Jumau dipercayai terjatuh dalam kolam di Tatau

TATAU, 7 Disember – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau melakukan operasi pencarian susulan seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah kolam di kawasan Simpang Rumah Kiroh Anak Bali, Tatau petang tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.18 petang.

BBP Tatau dengan kekuatan empat anggota digerakkan ke lokasi kejadian, kira-kira satu kilometer dari balai.

Komander Operasi, PBK I Boniface Anak Empaya, dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa dikenali sebagai Daniel Jumau, 23 tahun, dilaporkan sedang mandi sebelum dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam kolam.

“Menurut rakan mangsa yang berada di lokasi, tuala dan selipar milik mangsa ditemui di tebing kolam, manakala mangsa tidak kelihatan di permukaan air,” menurut kenyataan itu.

Setibanya di lokasi, pasukan bomba menjalankan pencarian awal di kawasan mangsa dipercayai jatuh, termasuk melakukan pemeriksaan di permukaan dan dalam kolam.

Operasi pencarian diteruskan secara berhati-hati berikutan keadaan air yang tenang namun mempunyai kedalaman yang tidak dapat dipastikan. Mangsa masih belum ditemukan dan operasi giat dilakukan.