KUALA LUMPUR, 30 November – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai kuasa undang-undang untuk mengeluarkan notis mengarahkan mana-mana individu hadir serta mengemukakan dokumen bagi tujuan siasatan.
SPRM dalam kenyataan hari ini berkata notis dikeluarkan di bawah Seksyen 30(1) Akta SPRM 2009 membolehkan suruhanjaya itu menuntut kerjasama mana-mana pihak tanpa pengecualian,.
Kuasa itu termasuk terhadap pengamal undang-undang.
Oleh itu, SPRM berkata, dakwaan yang dibuat oleh Lawyers for Liberty (LFL) hari ini bahawa notis yang dikeluarkan kepada peguam Mahajoth Singh dalam siasatan melibatkan Albert Tei Jiann Cheing sebagai tidak sah, adalah tidak berasas.
“Memandangkan peguam yang mewakili suspek mempunyai bahan bukti (ekshibits) yang berkaitan dengan siasatan, beliau mempunyai kewajipan undang-undang untuk mengemukakannya apabila dikehendaki di bawah Seksyen 30(3) Akta SPRM 2009.
“Keingkaran berbuat demikian, boleh dianggap sebagai menghalang penjawat awam menjalankan siasatan,” menurut agensi itu pada Ahad.
SPRM turut menerangkan bahawa keistimewaan komunikasi peguam–anak guam hanya melindungi nasihat undang-undang yang sulit.
Namun ia tidak mengecualikan kehadiran peguam di hadapan pegawai penyiasat, tidak melindungi bahan bukan nasihat undang-undang, dan tidak menghalang siasatan jika peguam tersebut adalah saksi material.
“Dakwaan intimidasi adalah tidak berasas. Notis ini adalah proses statutori biasa dan tidak menjejaskan kemampuan peguam mewakili anak guamnya,” kata SPRM.
Agensi itu menjelaskan bahawa memanggil individu yang mempunyai maklumat relevan adalah amalan standard siasatan.
Manakala sebarang sekatan sementara terhadap akses kepada tahanan tertakluk kepada Seksyen 28(A)(8) Kanun Tatacara Jenayah, mengikut keperluan operasi bagi menjaga integriti siasatan.
SPRM menyifatkan cubaan menggambarkan prosedur sah sebagai “tindakan tanpa undang-undang” sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh mengelirukan orang awam.
“SPRM akan terus menjalankan amanah secara berkecuali dan profesional, selaras dengan peruntukan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

