Dakwaan Kultus : Mufti Perlis diminta serah maklumat

PUTRAJAYA, 11 Disember – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempelawa Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin untuk membuat laporan rasmi berhubung dakwaan kewujudan kumpulan ajaran sesat, yang dikaitkan dengan aktiviti tertentu di negara ini.

Beliau menegaskan, sekiranya wujud maklumat berkenaan, ianya perlu disalur terus kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan mengikut undang-undang.

“Tanggungjawab memberikan maklumat terletak pada pihak yang membuat dakwaan, bagi memastikan proses siasatan dapat dilakukan secara teratur dan menyeluruh.

“Saya mempelawa pertamanya untuk Maza tampil membekalkan maklumat yang lengkap kepada pihak berkuasa. Tentunya kalau beliau mempunyai maklumat seperti disebut, lebih elok perkara berkenaan, diuruskan mengikut undang-undang.

“Pihak yang menyebut ada kes sebegitu, menjadi tanggungjawab untuk tampil memberikan maklumat kepada polis,”katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini.

Datuk Seri Saifuddin turut menjelaskan Cawangan Khas PDRM mempunyai unit khusus yang menangani isu ajaran sesat merentasi pelbagai agama dan penganut, termasuk pemantauan modus operandi kumpulan serta individu terlibat.

Mufti Perlis sebelum ini mendakwa wujud sebuah gerakan kultus berasal dari Korea dengan pelbagai ajaran janggal dan menyimpang serta didakwa aktif bergerak di Malaysia atas nama keamanan dan keharmonian.