MIRI, 17 Disember – Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya susulan rombakan Kabinet semalam.
Menerusi satu kenyataan, beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah besar, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurutnya, beliau komited untuk bekerjasama rapat dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bagi memastikan pelaksanaan dasar serta inisiatif kementerian dapat dilaksanakan secara berkesan.
Chiew turut menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Miri, selain berhasrat menggunakan platform baharu itu bagi memperjuangkan kepentingan rakyat Miri.
Beliau berkata, tumpuan juga akan diberikan bagi memastikan Sarawak terus diberi perhatian dalam agenda pembangunan pelancongan, seni dan budaya di peringkat nasional.
“Akan saya pikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab. Saya akan terus berkhidmat sepenuh dedikasi demi Malaysia serta rakyat Sarawak,” katanya.

