LUMUT, 11 Disember – Cadangan pemindahan program Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan (KPM) ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memerlukan proses panjang dan masih di peringkat awal.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu perlu dibentangkan di Parlimen terlebih dahulu berikutan melibatkan pindaan akta sedia ada.
Ia sebahagian perancangan bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijadualkan bermula pada 2026 dan mengambil tempoh lima tahun.
“Sebuah jawatankuasa perlu dibentuk untuk meneliti proses kesinambungan, termasuk pemindahan daripada KPM ke KPT. Perkara ini akan mengambil sedikit masa. Keputusan rasmi hanya akan dibuat selepas laporan itu siap dan diserahkan kepada pihak kerajaan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Semula Nelayan (PSN) Pulau Pangkor Fasa ke-2 kepada 49 nelayan dengan peruntukkan keseluruhan bernilai RM16 juta di Arena Terbuka Teluk Gedung, Pulau Pangkor di sini.
Penyerahan kunci PSN Pulau Pangkor disempurnakan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan dihadiri Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil.

