CAAM siasat insiden pesawat ringan terhempas di Lapangan Terbang Tekah

TAIPING, 9 Disember – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden pesawat ringan yang terhempas di kawasan berhampiran Lapangan Terbang Tekah, Ahad lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata pesawat microlight itu berada di bawah kendalian Malaysia Sports Aviation Federation (MSAF), sebuah persatuan berdaftar yang mengendalikan aktiviti penerbangan sukan.

Katanya, semua aspek teknikal dan punca kemalangan akan ditentukan sepenuhnya oleh CAAM.

“Itu siasatan berkaitan aviation berada di bawah CAAM. Jadi kita perlu menunggu kesimpulan CAAM.

“Pihak polis hanya melaporkan kemalangan udara ini, manakala aspek teknikal seperti kerosakan enjin atau human error akan disahkan oleh CAAM,” katanya selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis dan Pengerusi PERKEP di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah hari ini.

Insiden berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad apabila pesawat berkenaan terhempas di kawasan lapang berhampiran lapangan terbang tersebut.

Dua mangsa yang terlibat kini dirawat di Hospital Taiping dengan kecederaan patah kaki.