BN Kedah senarai calon berpotensi, serah keputusan kepada pimpinan parti

ALOR SETAR, 13 Julai– Calon-calon yang berpotensi daripada Barisan Nasional (BN) untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN ke-15) negeri Kedah telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk tapisan sebelum diumumkan.

Pengerusi Badan Perhubungan BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata terdapat sekurang-kurangnya tiga nama calon yang disenaraikan di setiap satu kawasan DUN untuk dipertimbangkan.

“Pakatan Harapan (PH) pun melalui tapisan dahulu, paling lambat minggu ini. Namun, kita di pihak Barisan Nasional (BN), kita minta satu bahagian dan kawasan itu kita hantar tiga nama calon. Maka, pihak ibu pejabat akan buat proses tapisan dan semakan lanjut,” kata Mahdzir kepada pemberita dalam sidang media di Alor Setar, hari ini.


(Foto FB Menteri)

Mahdzir yang tidak mengulas lanjut berhubung jumlah nama calon yang dihantar ke peringkat pusat, bagaimanapun berkata wakil calon merangkumi gabungan muka baharu dan lama malah calon yang bertanding di peringkat Parlimen pada PRU ke-15 lalu, turut disenaraikan.

Dalam pada itu, Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Mahfuz Omar memaklumkan individu yang melakukan perbuatan khianat, menconteng dan mengoyak poster Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jitra dan Kulim, perlu diambil tindakan tegas oleh pihak polis.

“Ini satu perbuatan khianat. Kita tidak seharusnya bertindak seperti mana kita berada pada era politik 60-an dan 70-an. Menconteng poster dan sebagainya. Kita harus hormati dan mengamalkan politik matang,” kata Mahfuz dalam sidang media sama.

“Saya fikir dalam politik ini, kita tidak boleh ada kebencian melampau. Meski kita rasa tak suka pun dalam politik itu, perlu ada hadnya. Jangan sesekali kita sentuh aspek yang meliputi 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja,” tambah Mahdzir.