Belanjawan 2026 cerminkan tadbir urus baik, perbelanjaan berhemah

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, memberikan reaksi positif terhadap ketika pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Nga Kor Ming, belanjawan tersebut menunjukkan kejayaan kerajaan dalam meningkatkan hasil negara, menurunkan defisit, dan mengurangkan hutang negara.

Perkara itu dilihat sebagai langkah penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia terus kukuh dan negara mencapai status berpendapatan tinggi.

“Pertama, beliau telah berjaya meningkatkan hasil kerajaan. Kedua, menurunkan kadar defisit. Ketiga, mengurangkan hutang baharu negara. Jelas sekali, beliau juga akan terus mengemudi ekonomi negara agar terus berkembang.

“Ini jelas menunjukkan bahawa apabila kerajaan bawah pentadbiran MADANI yang menekankan kepentingan tadbir urus baik dan perbelanjaan berhemah, negara bukan sahaja mampu bangkit semula, malah rakyat turut menerima manfaatnya. Ini merupakan satu belanjawan yang baik, adil, seimbang dan progresif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pembertia selepas pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) yang dibentangkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.