TELUK INTAN, 30 November – Banjir yang melanda Kampung Selabak Luar, di sini sejak hampir seminggu lalu terus menjejaskan penduduk setempat dengan 35 buah rumah masih dinaiki air.
Hujan lebat berpanjangan serta limpahan Sungai Bidor menyebabkan kawasan yang tidak pernah dinaiki air turut tenggelam.
Keadaan itu memaksa sebahagian penduduk berpindah ke PPS Rumah rehat Teluk Intan sejak Khamis.
Rata-rata penduduk yang ditemui menyifatkan banjir kali ini adalah paling buruk sejak tahun 1983.
Salah seorang penduduk, Rahmah Abdul Rashid berkata banjir yang luar biasa menyebabkan para penduduk terlibat bekerjasama menyelamatkan barangan masing-masing.
“Ini banjir paling besar yang kami alami. Selalunya kalau banjir depan ruma,air cepat surut. Tapi kali ini semua penduduk bekerjasama, budak-budak bawa sampan, tolong orang tua.
“Ada yang berkhemah di surau sementara menunggu air surut”, jelasnya.
Rohayati Mat Hassan pula menyifatkan banjir tersebut menyebabkannya terpaksa menanggung kerugian selepas kebanyakkan harta bendanya rosak ditenggelami air.
“Sebelum ini, banjir setinggi betis buku lali sahaja dan perkara itu biasa berlaku setiap tahun. Rumah saya sudah dinaiki air sampai paras pinggang, walaupun barang-barang telah diletakkan di atas meja. Kerugian memang besar, susah nak diungkap dengan kata-kata”, jelasnya.
Beberapa laluan ke rumah penduduk terlibat masih tidak dapat dilalui, menyukarkan para penduduk memeriksa kerosakan harta benda.
Tinjauan RTM turut mendapati tanah perkuburan berhampiran turut ditenggelami air berikutan banjir yang belum surut sepenuhnya.

