Banjir: Operasi JPN Bachok dan Tumpat ditutup sementara

KOTA BHARU, 23 November – Operasi pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) daerah Bachok dan Tumpat ditutup sementara waktu bermula hari ini, susulan banjir yang melanda negeri Kelantan.

JPN Kelantan menerusi kenyataan memaklumkan orang ramai yang mempunyai urusan berkaitan jabatan itu diminta hadir ke cawangan berdekatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Bahagian Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) dan korporat JPN Negeri Kelantan melalui talian 09-7441717/09-7482793″, menurut JPN dalam kenyataan.

Dalam pada itu, menurut Info Bencana JKM, sehingga 2.00 petang penduduk terjejas di Kelantan meningkat kepada 4,751 orang daripada 1,790 keluarga melibat empat daerah iaitu Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh serta 22 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan.