KUALA LUMPUR, 30 November – Seramai 21,468 penduduk daripada 6,824 keluarga terjejas banjir di 11 negeri, setakat pukul 10.30 pagi tadi.
Menerusi portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua penduduk terjejas berkenaan ditempatkan di 257 pusat pemindahan sementara (PPS).
Perak menjadi negeri paling terjejas banjir dengan 5,521 penduduk ditempatkan di 42 PPS.
“Sebanyak 42 PPS dibuka di Perak; membabitkan enam daerah terlibat.
“Perak Tengah mencatat 1,234 penduduk terjejas, Hilir Perak (1,801 orang), Manjung (2,139 orang), Bagan Datuk (295 orang), Larut, Matang dan Selama (32 orang) dan Muallim (lapan orang),” menurut kenyataan itu.
Di Terengganu pula, seramai 4,722 penduduk terjejas banjir ditempatkan di 88 PPS.
Ia melibatkan 1,381 keluarga; membabitkan tujuh daerah terlibat.
“Kuala Terengganu menjadi daerah paling terjejas. Seramai 1,242 penduduk ditempatkan di sembilan PPS.
“Ini diikuti Marang, 1,089 penduduk terjejas, Kemaman (665 orang), Kuala Nerus (529 orang), Setiu (500 orang), Dungun (470 orang) manakala Hulu Terengganu (132 orang),” menurut kenyataan sama.
Sementara di Selangor, seramai 3,581 penduduk terjejas banjir, Perlis (3,522 orang), Kelantan (1,743 orang), Kedah (901 orang), Pahang (1,239 orang), Negeri Sembilan (169 orang), Melaka (48 orang), Sarawak (14 orang) dan Kuala Lumpur (lapan orang).

