KUALA TERENGGANU, 26 November – Terengganu kembali dilanda banjir melibatkan dua daerah, iaitu di Besut dan Marang
Menurut portal Info Bencana JKM, setakat pukul 7:00 pagi seramai 136 penduduk terjejas daripada 39 keluarga kini berlindung di 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka sejak malam tadi.
Di daerah Marang, seramai 46 penduduk daripada 10 keluarga berada di lima PPS, iaitu SK Bukit Gasing, Dewan Sivik Pekan Wakaf Tapai, SK Pengkalan Berangan, SK Bukit Payong dan SK Simpang Rawai.
Manakala di Besut, lima PPS lagi dibuka bagi menempatkan 90 penduduk daripada 29 keluarga.
Antara PPS yang sedang beroperasi ialah Sekolah Kebangsaan Felda Tenang, Masjid Kampung Bukit Payung dan PPK Madani Belaoh.
Ketika ini hujan masih turun di beberapa tempat dan jumlah penduduk yang terjejas dijangka meningkat.
Orang ramai yang berada di kawasan berisiko terutama di kawasan rendah diminta peka terhadap arahan semasa dan mengikuti perkembangan melalui saluran rasmi.

