Banjir Kedah: Jumlah penduduk di PPS terus berkurangan pagi ini

ALOR SETAR, 29 November -Jumlah penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Daerah Kubang Pasu dan Kota Setar terus berkurangan.

Setakat pukul 8.00 pagi tadi, 3,452 penduduk terjejas banjir daripada 1,073 keluarga masih ditempatkan di 16 PPS berbanding 3,758 penduduk, malam tadi.

Tiga PPS ditutup malam tadi iaitu Dewan Felda Batu 8 di Kubang Pasu yang ditutup pada pukul 8.00 malam dan PPS Dewan Serbaguna dan Masjid An-Nur di Daerah Pokok Sena yang ditutup pada pukul 10.30 malam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan, di Kubang Pasu, 1,622 penduduk masih ditempatkan di 10 PPS iaitu SMK Changlun (72); Dewan Kampung Tradisi (68); Dewan Kodiang (74); SK Malau (194); Dewan Padang Sera (25); Dewan Wawasan Jitra (341); SK Bukit Tinggi (141); SK Padang Pekan (232); SK Bandar Darul Aman (199); dan SK Tunjang (276).

“Tujuh mukim masih terjejas banjir iaitu Mukim Temin, Sungai Laka, Binjal/Hosba, Keplu, Ah, Pelubang Naga, dan Bukit Tinggi melibatkan beberapa buah kampung.

“Manakala di Kota Setar, 1,830 penduduk ditempatkan di enam PPS iaitu SK Taman Aman (681); SK Taman Uda (193); SK Seri Perdana (396); SK Bukit Pinang (220); SK Sri Gunong (219); dan SK Gunong (121),” menurut kenyataan itu.

Beberapa buah kampung di empat mukim masih terjejas banjir iaitu Anak Bukit, Titi Gajah, Alor Malai/Pumpong, dan Gunong.