Banjir: Hanya Kemaman masih terjejas di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 16 Disember – Banjir gelombang kedua di Terengganu yang bermula Ahad lalu beransur pulih apabila hanya tinggal satu daerah sahaja yang masih terjejas iaitu Kemaman.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri memaklumkan setakat 10.00 pagi tadi seramai 204 penduduk terjejas masih berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS).

PPS Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih merekodkan jumlah penduduk terjejas tertinggi iaitu 101 orang, diikuti Dewan Orang Ramai Batu 14 yang menempatkan 53 penduduk dan Masjid Kampung Batu 16 Tebak seramai 17 penduduk.

Manakala, masing-masing 10 penduduk di Dewan Orang Ramai Kampung Seberang Tayur Hulu dan Dewan Ketengah Dadong.

Dalam pada itu, banjir di Hulu Terengganu pula telah pulih sepenuhnya apabila 266 penduduk yang berada di Kampung Lubuk Periuk, Masjid Kampung Peneh, Balairaya Kampung Kemat dan Kampung Pelandan telah dibenarkan pulang 10.00 pagi tadi.

Ketika ini cuaca hujan hanya berlaku di beberapa kawasan sahaja dan menunjukkan trend berkurangan.