KUALA TERENGGANU, 17 Disember – Banjir gelombang kedua di Terengganu dijangka surut sepenuhnya hari ini, sekiranya cuaca baik berterusan direkodkan di daerah Kemaman.
Berdasarkan rekod, hanya 102 penduduk yang masih ditempatkan di lima pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Pertahanan Awam Mohd Zul Khairi Shamsuddin berkata, ketika ini, hujan renyai hanya berlaku di beberapa kawasan sahaja.
Jelasnya, keseluruhan negeri Terengganu masih menerima cuaca lembab dan kadangkala hujan lebat yang diramal sehingga esok.
“Saya bimbang berlaku kes lemas kerana arus banjir yang deras menyukarkan unit penyelamat mencari mangsa. Saya menasihatkan orang ramai, terutamanya ibu bapa, agar tidak membiarkan anak-anak bermain di air banjir dan sentiasa mengawasi mereka,” katanya.
Orang ramai diingatkan agar tidak mendekati kawasan persisir pantai berikutan ombak yang sangat kuat ketika ini serta tidak melakukan sebarang aktiviti air termasuk sungai dan air terjun.
Dalam pada itu beliau menasihati penduduk terjejas yang pulang ke kediaman agar membuat pemeriksaan rapi, bagi memastikan tiada binatang berbisa yang boleh mengancam keselamatan.

