KUALA TERENGGANU, 17 Disember – Jumlah penduduk terjejas di daerah Kemaman terus berkurangan dengan dua lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditutup sepenuhnya petang tadi.
Setakat pukul 4.00 petang tadi, hanya tinggal 94 penduduk terjejas yang masih ditempatkan di tiga PPS yang melibatkan Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih dan Batu 14 serta Masjid Kampung Batu 16 Tebak.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel Pertahanan Awam Mohd Zul Khairi Shamsuddin berkata, ketika ini hujan renyai-renyai hanya melanda beberapa kawasan, namun Terengganu dijangka masih menerima cuaca lembab dan kemungkinan hujan lebat sehingga esok.
Orang ramai diingatkan supaya tidak mendekati kawasan persisir pantai berikutan keadaan ombak yang sangat kuat.
“Saya juga bimbang jika berlaku kes lemas. Kes itu menyukarkan unit penyelamat untuk mencari mangsa disebabkan arus deras. Oleh itu saya menasihatkan orang ramai supaya tidak bermain air banjir terutama kanak- kanak. Ibu-bapa perlu peka dan awasi anak-anak mereka,” katanya.
Dalam pada itu beliau menasihatkan penduduk terjejas yang dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing untuk berwaspada bagi memastikan tiada binatang berbisa yang boleh mengancam keselamatan.

