SUBIS, 16 Disember – Pusat pemindahan sementara (PPS) Daerah Subis di Sarawak yang beroperasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suai Niah ditutup sepenuhnya pukul 11.30 minit pagi tadi.
Perkara itu dinyatakan Pegawai Daerah Subis, Norliah Ulis menerusi satu memorandum rasmi.
Penutupan PPS dibuat susulan lawatan agensi keselamatan yang mengesahkan keadaan banjir di kawasan kediaman penduduk terjejas sudah surut sepenuhnya dan selamat didiami.
PPS berkenaan sebelum ini menempatkan dua penduduk daripada sebuah keluarga.
Penutupan PPS berkenaan menandakan situasi banjir di daerah Subis telah pulih sepenuhnya, sekali gus menamatkan operasi pemindahan sementara yang dilaksanakan sebelum ini.

