KANGAR, 1 Disember – Jumlah penduduk yang masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Perlis, terus berkurangan.
Sehingga 9 pagi ini, berdasarkan portal Bencana NADMA, seramai 2,523 penduduk daripada 780 keluarga kekal berada di 12 PPS berbanding 3,009 penduduk malam tadi.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud memaklumkan, sebanyak 12 PPS lagi telah ditutup, iaitu enam di Padang Besar melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Tinggi, Dewan Semai Bakti Felda Mata Ayer, SK Felda Mata Ayer, SK Batu Bertangkup, SK Beseri dan SK Bukit Keteri.
Manakala masing-masing tiga PPS di Arau dan Kangar melibatkan UiTM Cawangan Perlis, SK Guar Nangka, UniMAP Kubang Gajah, SK Behor Empiang, IKBN Kuala Perlis dan SK Sena.
Ketika ini, keadaan cuaca di Perlis kembali cerah dan panas terik yang membolehkan lebih ramai penduduk terjejas pulang ke kediaman masing-masing bagi kerja-kerja pembersihan.
Pelbagai bantuan telah disalurkan oleh agensi kerajaan termasuk pertubuhan bukan kerajaan, bukan sahaja dari Perlis malah dari luar negeri itu termasuklah dari segi kerja-kerja pembersihan kediaman penduduk yang terjejas banjir.

