KUANTAN, 16 Disember– Seramai 875 orang penduduk terjejas banjir di Pahang kini berlindung di lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), setakat pukul 7.00 malam tadi.
Lapan PPS yang dibuka melibatkan dua daerah iaitu Kuantan dan Maran.
Menurut Portal Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kuantan merekodkan paling ramai penduduk terjejas dengan tujuh PPS beroperasi yang menempatkan kira-kira 806 orang penduduk.
Tujuh PPS terlibat ialah Dewan Dato Sri Abdul Manan Ismail, Dewan Serbaguna Kampung Jaya Gading, Dewan Orang Ramai Kampung Sri Mahkota, Dewan Orang Ramai Kampung Seri Damai, Sekolah Kebangsaan (SK) Fakeh Abdul Samad, SK Wira dan SK Mat Kilau.
Bagi daerah Maran, seramai 69 orang penduduk kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Tetap Luit.
Sementara itu, menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan, kini melepasi paras bahaya dengan bacaan terkini iaitu 6.06 meter berbanding 4.80 meter yang ditetapkan.

