AWAS bakal diperluas ke 10 lokasi baharu

KUALA LUMPUR, 15 Disember -Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) akan terus diperkemas tahun hadapan apabila kerajaan merancang menambah 10 lokasi baharu pemasangan kamera di seluruh negara.

Pemilihan lokasi dibuat sepenuhnya berdasarkan data kemalangan berisiko tinggi, khususnya di laluan yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku nahas.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah menegaskan, pemasangan kamera AWAS bukan bertujuan memerangkap pemandu, sebaliknya untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.

“Pemilihan lokasi ini bukan dibuat untuk memerangkap pemandu. Keutamaan kerajaan adalah aspek keselamatan dan kawasan yang dipilih merupakan lokasi berisiko tinggi serta sering berlaku kemalangan termasuk kawasan black spot,” katanya di Dewan Negara.

Datuk Hasbi berkata, pendekatan berasaskan data itu penting bagi memastikan pelaksanaan AWAS lebih berkesan sebagai langkah pencegahan, bukan semata-mata penguatkuasaan.

Langkah tersebut dijangka memperkukuh keberkesanan sistem AWAS selari dengan usaha kerajaan mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat untuk semua pengguna.