KANGAR, 30 November – Seramai 4,266 penduduk terjejas banjir di Perlis masih berada di 18 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 8.00 pagi tadi.
Angka tersebut berkurangan berbanding 4,635, malam tadi
Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud, lima PPS yang telah ditutup ialah tiga di Padang Besar, iaitu Dewan Semai Bakti Felda Mata Ayer, Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Mata Ayer dan SK Batu Bertangkup.
“Manakala dua lagi PPS ialah di Arau iaitu UiTM (Universiti Teknologi MARA) Cawangan Perlis dan SK Guar Nangka,” katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, lebih ramai penduduk terjejas banjir yang berada di PPS dijangka kembali ke kediaman masing-masing berikutan cuaca cerah dan panas, hari ini.

