SEPANG, 3 Disember – Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) mengesahkan ancaman bom yang disasarkan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Disember adalah palsu.
Menurut kenyataan MAHB, seorang individu telah ditahan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
“Kejadian berlaku pada pukul 5:32 petang, sejurus sebelum penerbangan dijadualkan berlepas.
“Pasukan Keselamatan Penerbangan segera mengaktifkan protokol kecemasan, mengamankan kawasan berkenaan dan berkoordinasi dengan pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan sama.
Jelas MAHB, semua penumpang berada dalam keadaan selamat sepanjang proses tersebut dan kemudian berlepas pada pukul 7:19 malam dengan penumpang masih berada di terminal.
Penilaian terperinci oleh pihak keselamatan penerbangan, PDRM dan unit pemusnah bom mengesahkan keadaan selamat sepenuhnya pada pukul 8:58 malam, serta menegaskan bahawa ancaman tersebut hanyalah penipuan.
MAHB menegaskan, amaran palsu merupakan kesalahan serius di bawah undang-undang Malaysia dan boleh membawa kepada tindakan undang-undang.

