Anak muda Malaysia raih juara keseluruhan pada WRO 2025

KUALA LUMPUR, 7 Disember– Kejayaan kontinjen Malaysia muncul Juara Keseluruhan di World Robot Olympiad (WRO) International Final Singapore 2025 melambangkan keupayaan generasi muda negara dalam inovasi, kreativiti dan penyelesaian masalah melalui pendidikan STEM, sekali gus mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.

Ketua Penolong Pengarah Unit Kelab dan Persatuan, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan (KPM), Rizawani Mustafa berkata kejayaan pasukan robotik Malaysia membuktikan komitmen berterusan negara dalam melahirkan inovator muda melalui pendidikan STEM, khususnya dalam reka bentuk dan pembangunan robotik.

“Strategi KPM ialah merancang dari awal tahun, bermula dengan pertandingan peringkat negeri hingga kebangsaan, dan memilih pasukan terbaik untuk persediaan intensif sebelum ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu dalam Program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media.

Peserta, Lim Keat Hao berkata cabaran terbesar ialah membina satu ekosistem robotik lengkap dengan AI dan pelbagai aplikasi dalam masa terhad.

“Kami belajar mengatur masa, bekerjasama sebagai pasukan dan mendapat banyak bantuan daripada guru serta jurulatih. Saya nasihatkan murid lain untuk berani menghadapi kegagalan dan bermula dengan langkah-langkah kecil,” ujarnya.

Terdahulu, KPM dengan kerjasama rakan strategik Sasbadi Holdings Berhad dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menghantar penyertaan 16 pasukan robotik bagi lapan kategori ke WRO International Final 2025 di Singapura pada 26 hingga 28 November 2025 yang lalu.

Pertandingan itu dianjurkan oleh World Robot Olympiad™ Association dengan kerjasama Space Faculty, Singapura.

Tahun ini menyaksikan penyertaan 594 pasukan daripada 91 negara, membabitkan 1,571 peserta seluruh dunia.

Tema WRO 2025, The Future of Robots, memberi fokus kepada pembangunan ciptaan robot menggunakan produk LEGO Education, untuk menangani cabaran dalam bidang kesihatan, industri, alam sekitar dan kehidupan seharian.

Malaysia mengekalkan kejuaraan dengan memenangi empat pingat emas, empat pingat perak dan dua Anugerah Kecemerlangan, menjulang nama negara di pentas dunia.

Kejayaan berkenaan diharap dapat dikekalkan pada tahun hadapan di Puerto Rico sekali gus menjadi inspirasi kepada lebih ramai murid untuk terus mengejar kecemerlangan di peringkat antarabangsa.