BATU PAHAT, 9 Disember – Seorang pemandu ambulans maut, manakala tiga penumpang termasuk pesakit cedera dalam kemalangan di Kilometer 59.8 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan Renggam, Kluang pada pukul 1.10 tengah hari tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, M. Nasir A. Shah berkata, mangsa lelaki berusia 43 tahun itu tercampak keluar selepas ambulans dipandunya dipercayai terbabas sendiri.
Kenderaan itu turut membawa dua pembantu perubatan wanita dan seorang pesakit wanita, yang masing-masing dilaporkan cedera.
Operasi menyelamat melibatkan enam anggota bomba bersama satu jentera FRT.
Semua mangsa dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, untuk rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.24 petang.

