KUALA LUMPUR, 17 Disember – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda lima negeri, sehingga 7.00 pagi ini.
MET Malaysia menerusi kenyataan memaklumkan cuaca tersebut dijangka melanda beberapa kawasan di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, dan Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Di negeri Perak, jangkaan cuaca tersebut dikeluarkan bagi kawasan Hilir Perak, manakala Selangor melibatkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
Amaran cuaca sama juga meliputi seluruh Negeri Sembilan dan Melaka, serta beberapa kawasan di Sabah, iaitu Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat (Pitas dan Kudat).
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

