KUALA LUMPUR, 17 Disember -Amaran hujan berterusan tahap bahaya hingga waspada dikeluarkan, yang dijangka melanda beberapa negeri bermula hari ini hingga esok.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan berkata amaran tahap bahaya yang dikeluarkan pada 8.45 pagi itu melibatkan Pahang khususnya di Kuantan, Pekan dan Rompin.
“Amaran hujan berterusan tahap buruk pula dijangka berlaku di Pahang (Jerantut, Maran dan Bera), Terengganu (Dungun dan Kemaman), Johor (Segamat, Kluang , Mersing dan Kota Tinggi).
“Selain itu, amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka melibatkan sembilan negeri iaitu Kelantan, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh), Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru),” katanya menerusi kenyataan itu.
Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia atau menghubungi talian hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638.

