Amaran hujan berterusan libatkan beberapa negeri sehingga Khamis

KUALA LUMPUR, 17 Disember – Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional (POCGN) mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan beberapa negeri di Pantai Timur dan Selatan Semenanjung bermula hari ini sehingga Khamis, 18 Disember 2025.

Bagi amaran tahap bahaya, hujan sangat lebat berterusan dijangka melanda negeri Pahang, khususnya di Kuantan, Pekan dan Rompin, yang berisiko tinggi menyebabkan banjir dan kejadian tanah runtuh.

Sementara itu, amaran tahap buruk turut melibatkan negeri Terengganu, iaitu Dungun dan Kemaman, serta beberapa daerah di Pahang dan Johor, termasuk Jerantut, Maran, Bera, Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

Dalam pada itu, amaran tahap waspada dikeluarkan melibatkan negeri Kelantan serta beberapa daerah di Terengganu dan Pahang

Bagi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan beberapa kawasan lain di Johor turut berada pada tahap yang sama.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta bersedia menghadapi kemungkinan banjir dan cuaca buruk sepanjang tempoh amaran ini.