KUALA LUMPUR, 14 Disember – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan yang melibatkan beberapa negeri, sehingga pertengahan Disember ini.
Menurut MET Malaysia, amaran hujan lebat berterusan kategori buruk berkuat kuasa sehingga 18 Disember ini melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Johor (Mersing dan Kota Tinggi).
“Sementara itu, amaran hujan berterusan tahap waspada yang juga berkuat kuasa sehingga 18 Disember ini melibatkan Perak (Hulu Perak dan Kuala Kangsar), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera), serta Johor (Segamat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru).
“Bagi Sarawak, amaran hujan berterusan tahap waspada berkuat kuasa sehingga 16 Disember 2025 melibatkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web rasmi MET Malaysia, aplikasi mobil myCuaca, dan media sosial rasmi jabatan.
Sebarang pertanyaan juga boleh disalurkan melalui hotline MET Malaysia di talian 1-300-22-1638.

