KUALA LUMPUR, 17 Disember -Anggaran Penyenggaraan Jalan (AJP) termasuk di laluan motosikal akan dilaksanakan menerusi Perancangan Kerja Tahun 2026.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia bagi mengenal pasti, menyediakan kaedah rawatan serta kos pembaikan jalan yang perlu ditambah baik dalam usaha mengurangkan risiko kemalangan.
Kementeriannya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) akan bertanggungjawab menyediakan anggaran berkenaan sebagai sebahagian daripada perancangan penyenggaraan jalan secara menyeluruh.
“Pendekatan penyenggaraan berasaskan risiko diguna pakai bagi mengenal pasti kawasan kritikal yang memerlukan tindakan segera. Kementerian Kerja Raya turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan aspek keselamatan dan penguatkuasaan di laluan motosikal terus dipertingkatkan,” katanya di Dewan Negara.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Profesor Emeritus Dr. Mohammad Redzuan Othman mengenai langkah-langkah yang diambil bagi memastikan laluan motosikal di jalan-jalan utama di Lembah Klang selamat digunakan dan diselenggara dengan baik pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan.
Beliau turut optimis kementerian berperanan penting dalam memastikan laluan motosikal di Lembah Klang kekal selamat, berfungsi dan memenuhi keperluan pengguna.

