KUALA LUMPUR, 12 November- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap dan mengurniakan surat cara pelantikan kepada 25 hakim di Istana Negara.
Istiadat berkenaan dimulakan dengan pengurniaan surat cara pelantikan kepada Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohamed Hashim diikuti Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Seri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Seri Paduka Baginda kemudian berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada lapan Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Noorin Badaruddin, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, Datuk Dr. Alwi Abdul Wahab, Datuk Faizah Jamaludin, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid, Datuk Ismail Brahim, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada 15 Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Azizan Md. Arshad, Narkunavathy Sundareson, Noor Ruwena Datuk Md. Nurdin, Jamhirah Ali, Noor Hayati Mat, Azlan Sulaiman dan Kenneth Yong Ken Chinson St. James.
Hakim Mahkamah Tinggi yang lain ialah Leong Wai Hong, Noor Hisham Ismail, Roz Mawar Rozain, Wan Fadhilah Nor Wan Idris, Rofiah Mohamad, Wong Mee Ling, Datuk Raja Ahmad Mokhzanuddin Shah Raja Mohzan dan Suria Kumar Durairaj Johnson Paul.
Istiadat berkenaan turut dihadiri Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said; Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim, serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri Datuk Zamri Bakar.

