KUALA LUMPUR, 3 September– Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri, dipanggil memberi keterangan berhubung penyebaran hantaran palsu berunsur perkauman di media sosial.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), hantaran tersebut dikaitkan dengan insiden seorang wanita naik ke pentas utama semasa sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di Ipoh, baru-baru ini.
MCMC memaklumkan, keterangan itu diambil semalam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” menurut kenyataan MCMC.
MCMC menegaskan, penyebaran kandungan palsu berunsur fitnah dan perkauman merupakan perbuatan serius yang boleh mengancam keharmonian serta ketenteraman awam.
Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum memuat naik atau menyebarkan kandungan di media sosial.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang wanita dipercayai mengalami masalah kesihatan mental cuba naik ke pentas utama sambutan Hari Kebangsaan di Ipoh untuk memeluk Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

